Thursday, April 30, 2009

Karangan...(sambungan)

“Baik, kalau itu yang you mahukan. Salina binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu.” Ada getar di suaranya, sebak menghiris dadanya.

Dia memusingkan badan dan menarik nafas dalam-dalam, air mata yang ditahan jatuh juga berguguran. Fikirannya jadi kosong, dia hanya mendengar dentuman pintu bilik di hempaskan, jantungnya juga seperti gugur, lemah luluh seluruh badan. Kakinya menggigil, dengan perlahan dia teraba-teraba mencari birai katil, punggung dilabuhkan, satu keluhan nafas berat di lepaskan. Ya Allah…apa yang telah aku lakukan…..Air matanya yang masih mengalir dikesat dengan belakang tangan. Dia menekup mukanya, tangisan halus di lepaskan, segala kesedihan tertumpah keluar. Hatinya masih sayang, hatinya masih cinta. Cintanya tidak pernah hilang, tidak pernah pudar. Sayang, cintanya tidak di pandang lagi. Cintanya sudah dibuang jauh-jauh dari hati wanita itu.

“Babah….” Suara kecil Liya memanggil.

Cepat-cepat dia mengesat air hidung, muka di pusing mengadap suara itu. Dua anak kecil itu menerpa ke arah ayah yang sedang kesedihan.

“Babah....” Liya yang baru berusia 6 tahun itu memaut erat kaki lelaki itu.

Dia tidak mahu kalau babahnya juga pergi seperti ibunya. Takut menyelebungi hati si kecil itu. Aziq diam tunduk memandang ke lantai. Masih jelas di matanya sewaktu ibu bergegas keluar tanpa mengendahkan mereka yang mengejar dari belakang.

Megat menarik badan Liya dan di rangkulnya sambil mengusap belakang badan dengan penuh rasa kasih dan sayang . Di peluk anak itu yang menanggis tidak henti. Sebelah tangan menarik Aziq. Tangannya mengusap lembut kepala anak itu.

“Jangan takut. Babah tak akan pergi mana. Tak akan tinggalkan Aziq dan Liya.”

Malam itu terasa terlalu panjang. Matanya memandang tepat ke siling dalam gelita yang sunyi. Bunyi dengkuran Aziq yang halus bagaikan alunan yang menghiburkan hatinya di kala itu. Bagaikan tidak percaya dia sudah kehilangan cinta seseorang. Esok pagi dia akan pergi tanpa iringan senyum Salina. Malam itu dia seakan sedar, dia sudah kehilangan cinta dan senyuman wanita itu setahun yang lalu. Bila pulang ke rumah, terasa ada bahang yang membuatkan mereka tidak betah bersama. Caci hamun sentiasa menyinggah. Apa yang dia lakukan semuanya salah di mata Salina. Dia juga tidak memperdulikan cerita-cerita yang didengari perihal tingkah isterinya kala dia sibuk mencari rezeki. Sedikit pun dia tidak mempercayai kalau isterinya berlaku curang.

No comments: