Sunday, December 05, 2010

3 Jantung Hati

Novel 3 Jantung Hati  telah pun di sandingkan di atas rak rumah Jemari Seni. Alhamdulillah. Minggu depan ianya akan mula masuk ke toko-toko buku. 

Tiada yang lebih bermakna buat seorang pengarang kalau ada orang yang sudi membaca. Apa-apa naskah, walau sehebat manapun ia, tidak akan bererti apa2 sekiranya tiada siapa yang mahu menyelak helaian demi helaian dan menarikan mata pada setiap aksara, lantas tenggelam bersama2 dunia ciptaan pengarang.

Cerita 3 Jantung Hati adalah cerita cinta biasa, ianya mungkin boleh jadi luar biasa kalau anda yang menyusuri rak-rak di kedai-kedai buku berhenti seketika untuk membelek ia. Dan akan menjadi lebih luar biasa sekiranya ianya di masukkan ke dalam bakul bersama buku2 lain yang telah terlebih dahulu mendapat perhatian dek kerana nama pengarangnya yang sudah terpahat kukuh di persada penulisan tanah air.

Saya hanya seorang pengarang yang hendak berkongsi cerita, maka luangkanlah sedikit waktu berharga mu untuk mendengar saya bercerita. :)

sedikit sedutan :-



I


     “Hai Mamat tu pandai la D.” bisik Oya mengejutkan Nadira yang terpempan mendengar gelaran yang di beri Nadim pada Ensha, anak kesayangannya.
     “Aku tak termakan dengan rasuah bunga dan coklat dia tu. Jangan harap !” balas Nadira dengan suara rendah dan terketar-ketar kerana dia sedang mengetap bibirnya. Geram !
     “Tengok ni Mummy, ada bunny kecil….comel kan !” kata Ensha menunjukkan sebuah soft-toy arnab yang memakai baju berwarna pink.
Nadira hanya senyum hambar, dia gusar, lelaki bernama Nadim Syah sedang menjalankan taktik ‘takel-anak-dapat-mak’. Ini tidak boleh jadi, Nadira mengetuk meja dengan penumbuk membuatkan Ensha dan Oya berpaling ke arahnya.


II


NADIM bersila di tepi Ensha sambil tangannya mengaut pasir-pasir, kaki kecil itu sudah separuh terbenam. Mentari yang tidak terik membuatkan mereka senang di tepi pantai itu. Bila sesekali ombak datang dan mengumpulkan airnya di tengah-tengah lubang yang di buat Nadim antara kaki Ensha, tangannya akan menepuk-nepuk air masin itu sampai terpercik. Nadim akan menggali lebih dalam lagi dan Ensha beritahu dia suka sangat kalau memandang laut atau tasik. Paling dia suka, tasik di belakang banglo putih bila terkena sinar matahari. Macam glitters yang dia tampal di biliknya.
     “Semalam Mami menangis..”
Ensha melihat Nadim cuba melicinkan pasir yang bertimbun di atas kakinya. Nadim senyap dia terus saja melicinkan pasir tanpa memberi respon, hatinya tersentuh.
     “Uncle… Uncle takkan tinggalkan Hani dengan Mami kan ?”
Nadim mengangkat muka, wajah anak itu di tatap lama kemudian dia menggeleng. Nadim duduk di sebelah Ensha, mereka diam, dua-dua memerhatikan ombak yang datang dan pergi.