Friday, June 10, 2011

3 Jantung Hati - Uncut Version III

Babak seterusnya, percubaan Nadim di dapur !



Banglo itu senyap sunyi sahaja, dia terjengket-jengket menuju ke dapur. Sedikit bunyi pun tak berdetik apalagi bau-bauan. Dia menghampiri dan tampak bayang-bayang Nadim dan Ensha dari panel gelas kabut. Nadira tertunduk-tunduk, tidak mahu mereka nampak bayangan dia. Dia menguping di balik panel gelas tersebut, dan tersengih-sengih mendengar dialog lucu Nadim dan Ensha.


“Honey cuba baca, berapa lama kita nak goreng bawang ni before masuk tomato.”

“Dia tak tulis…”

“Hmm…uncle belasah je lah eh….”

“Honey tak tau…betul ke Uncle boleh masak ni ?”

Nadim ketawa dan menarik hidung Ensha.

“Honey tak cuba lagi, kalau cuba mesti nak lagi. Mummy pun kalah tau.”

Nadira sudah tidak tahan dari hendak ketawa, dia duduk bertinggung dan terus mendengar.

“Alamak Honey…udang ni dah rentung sikit la …”

“Tu kan Honey dah suruh alih, Uncle kata belum lagi …belum lagi..”

“Tak pe , tak pe…Uncle tau la kita kasi mekap lawa-lawa ok la nanti..”

Ensha ketawa, “Nanti kena ambil beg mekap Mummy la !”

“Yupe, kita pakaikan udang ni lipstick pink Mummy tu…”

Nadira menekup mulutnya dari ketawa besar dan perutnya sudah rasa senak menahan ketawa.

“Uncle , pasal pasta tu nampak lembek je cam bubur dah..”

“Hah ?”

Serentak dengan itu Nadira terdengar bunyi senduk jatuh dan botol atau tin berlaga dengan kaunter stainless steel di bahagian tempat masak.

“Shit ! ”

“Hey , watch you word Uncle !”

“Sorry Honey !”

Nadira tidak dapat menahan diri lagi, dia dapat rasakan keadaan sangat kritikal di dalam dapur. Dia berdiri di laluan masuk dapur, matanya terbeliak. Memang kalut ! Dapur yang tadi berkilat dan tersusun, sekarang menjadi sangat huru hara, dengan pasta yang jatuh berserakan di atas kaunter masak dan juga di lantai, sos tomato yang tertumpah menitik dari ruang masak ke lantai yang bertiles hitam itu mewujudukan warna yang sungguh kontras. Nadim kalut cuba mengangkat periuk pasta yang terlebih rebus sambil kakinya pula menendang senduk di lantai yang menganggu gerak gerinya. Bau hangit keluar dari salah satu kuali leper dan bau bawang rentung memenuhi ruang dapur itu. Ensha pula sedang duduk manis memerhati kekalutan dari atas kerusi tinggi memegang buku resipi sambil memberi arahan itu ini pada Nadim yang makin kalut.

“Ya Allah..apa dah jadi ??” Nadira berlari mendapatkan dapur, api yang marak terus dia padamkan

Mereka berpaling serentak dan dua-dua melopong melihat Nadira yang terkejut dan tergelak pada masa yang sama. Air panas dari periuk terpercik dan Nadim menjerit kecil. Dia masih terkial-kial dengan seperiuk pasta yang sudah tidak nampak seperti pasta lagi. Nadira tidak henti geleng kelapa, Nadim ditolaknya jauh dari sinki.

“Hmmm…” Nadira mengetap bibir, menahan ketawa melihat Nadim mengangkat bahu seolah mengatakan Ops !

“Pasta ni tak boleh di selamatkan lagi !” kata Nadira dalam ketawa yang masih berbaki.

Nadim mengigit bibir dan mukanya merah. Dia sendiri NGERI melihat pasta yang sudah macam bubur lambuk !

“Tolong boleh ?”

“Apa ?” tanya Nadim merapati Nadira kembali.

“Tolong keluar dari dapur ni kejap ….” Nadira masih ketawa sampai tersedu-sedu dan Nadim cuba tersenyum manis. “Sekarang !!! Dan bawak Ensha sekali ye !”

Nadim terus meluru mendapatkan Ensha, dia angkat Ensha yang masih duduk di kerusi tinggi dan mereka bergegas meninggalkan Nadira.

“Kita nak makan apa nanti ????” Nadira tertangkap soalan Ensha pada Nadim.

“Emm….biar Mummy uruskan.. ok ? ” Dia terus melangkah keluar dengan Ensha masih dalam dukungannya. Sempat juga Nadim mengerling ke arah Nadira yang bercekak pinggang berkira-kira hendak bermula dari mana. Udang besar dah rentung dan mengerekot dalam kuali leper ! Nadira menarik kabinet dan dia tersenyum, syukur, ada sesuatu yang boleh dijadikan makan malam mereka.







SUASANA di ruang makan tidak begitu memberangsangkan bagi Nadim. Mana tidak, dari tadi dia asyik diperli oleh Nadira dan Ensha. Sup Mee Maggi di hirup perlahan-lahan, telinganya dah rasa macam nak tersumbat mendengar ketawa ria Nadira. Geram hatinya geram.

“Pandai Encik Nadim masak kan..what is it call again Penne Pomodoro ? ” usik Nadira sambil memutarkan mee pada garfu sebelum di suap ke dalam mulutnya.

Nadim menggigit bibir, matanya dikecilkan dan dia hanya bermain-main dengan mee maggi perisa ayam itu. Kalau ikut hatinya memang Nadira akan digeletek cukup-cukup. Perli tak habis-habis !

“Tak pe…siapla you lepas ni !” Nadim konon-konon mengeraskan suaranya.

Nadira hanya ketawa dan tidak sedikit pun mengendahkan ugutan Nadim itu.

“Ini last la Honey tolong Uncle kat dapur…” Ensha terus menyudu sup dan tak habis-habis menggeleng kepalanya.

“Ensha, bila ada lelaki cakap nak masak untuk Ensha nanti, don’t ever trust them..” giliran Nadira pula mengenyet mata pada Nadim yang tersenyum kelat.

“Ye…..Ensha akan ingat tu sampai bila-bila. Nasib baik ada maggi kan Mummy…” dia menjeling sedikit pada Nadim dan tersengih memerli, membuat Nadim makin geram.

“Honey kan geng Uncle…” kata Nadim sambil mencebik.

“Hari lain Honey nak geng, malam ni TAK NAK. Dah lah Honey suka makan udang…abis semua dah rentung !”

Nadim ketawa dan menarik hidung Ensha dua kali.

“Esok kita cari udang, ok ?”

Ensha mengangguk dan terus menghabiskan mee.

No comments: