Wednesday, May 04, 2011

Cerita Baru

Salam.

Sekarang sedang menulis kisah Lili dan Gibran. Tajuknya belum ada lagi, cuma draft title. Ghazal ... (something) tapi entahlah sama de sesuai ke idak.

Sedikit sedutan



I

“Cik…” suara Gibran menegur.


Langkah kaki longlai terus berhenti. Lili memaling. Lelaki itu !

“Awak tertinggal ni…” dia menyerahkan satchel coklat tua.

Ya Allah ! Betul-betul Lili lalai. Memang tepat gelaran “minah cicir” di beri padanya waktu zaman sekolah, dan nampaknya gelaran itu sudah kembali lagi.

“Terima kasih…..” Lili menawarkan segaris senyuman dan terus mengambil beg yang terisi segala khazanah penting dalam hidupnya.

“Hati-hati, kat sini tunggu je nak sambar beg mahal macam ni….” Kata Gibran, matanya tunduk, tidak memandang tepat.

“Bukannya ada apa pun…”

“Mereka tak tahu apa kat dalam, tapi jenama tu dah cukup buat orang mengagak isinya juga mahal..” Kali ini mata mereka tertembung pula, cepat-cepat mula mata mencari titik tumpuan lain.

Lili hanya senyum tawar. Nak perli pun sikit-sikit dah la, beg tu bukan ori pun. Berlambak di jual di sekitar Jalan Masjid India atau tempat famous barang ciplak, Petaling Street.

“Selalu nampak awak kat sini…reporter ke ?” Gibran merujuk pada bag kamera yang tersangkut di bahu. Selalu dia nampak wanita itu merakamkan aksi mereka dengan mengacu kamera, lagaknya nampak profesional saja. Pernah juga dia google mana tahu terjumpa gambarnya di ruang alam maya, tapi tak pernah pula terserempak di mana-mana.

Lili mengangguk dan menggeleng cepat-cepat. Angguk untuk mengiakan dia selalu ke situ untuk dapat hiburan percuma dan geleng kerana dia bukan reporter, dia menangkap gambar bukan untuk dilaporkan tapi untuk menjadikan ianya kenangan.

“Saya suka dengar live show, dan kat sini FREE… petang ini awak bawa lagu Ghazal kesukaan saya.” katanya seiring dengan mata yang dibulatkan.

Gibran ketawa sedikit. Memang tipikal orang Malaysia, kalau bagi free semua berduyun-duyun !


II

TAMAN di belakang rumah Suraya Dato Majid semakin surut dengan orang yang tadi penuh. Acara sambut menantu walaupun hanya untuk saudara dan teman-teman rapat tetap meriah dan mewah. Konsep garden wedding memang nampak romantis sangat, senyum lebar terpamer pada kedua-dua wajah pengantin. Harith nampak gembira sekali. Ya dia pernah melaluinya dulu bersama Lili tapi merasai sekali lagi bersama orang yang di cintai amat berbeza. Hatinya penuh dengan bunga. Bunga cinta.


“Ili…..glad that you can make it…” Harith tersenyum, gembira Lili sudi juga datang bertandang. Bapanya awal-awal lagi sudah boikot, dan ibunya terpaksalah ikut sekali. Abang dan kakaknya juga sedang melancarkan perang saudara. Semua tidak mengerti tindakan Harith. Sampai abang sulungnya Megat Adi mengecop Harith lelaki miang sibuk nak berbini baru.

“Ya, I am glad too..”suara Lili tenggelam. Dia senyum sedikit dan apabila pengantin perempuan berkumpul bersama mereka Lili masih mempamer senyum. Matanya curi-curi melihat Suraya. Cantik ! Dia sangat cantik !

“Congrats…” tangan di hulur, dan sebungkus hadiah dibalut pembalut putih dengan riben kertas crepe berwarna kuning cair bertukar tangan.

“Thanks, and thanks for this…” kata si pengantin perempuan dengan mata yang bulat. Cantik sangat !

“Oh just a small gift…”

Harith menghilang diri. Pandai betul. Dibiarkan isteri dan bekas isteri mengenali diri masing-masing. Selama ini hanya nama mereka saja disebut-sebut.

“I banyak dengar cerita pasal you.” Mula Suraya sambil menarik kerusi. Matanya melihat ke pinggan Lili yang berisi nasi kabsah sesenduk dan daging seketul.

Aku kan ‘penasihat’ pada si Harith masa dia hendak menawan kamu dulu !

“Oh….I hope tak ada cerita yang buruk pasal I …” Lili ketawa sedikit dan matanya mengerling Harith yang bersembang dengan Zali. Dia kenal Zali. Sebenarnya dia kenal semua kawan Harith, tentulah kan !

“No..none. Harith bagitahu you are an excellent photographer..and..”

“And a lousy cook !” sambung Lili cepat.

Suraya tergelak.

“Dia tak cakap tu, but indirectly dia cakap dia lagi suka makan kat mamak !” Suraya senyum. Dia memang manis. Mungkin juga mereka boleh berkawan baik kalau dia bukan isteri Harith !

Lili mengunyah daging. Sambil mengunyah, otaknya ligat menjana. Apa aku buat kat sini. Makan nasi kenduri bekas suami sambil mendengar celoteh isteri pada bekas suami dan pura-pura tersengih mendengar jenaka dia. Oh ! Ini sangat menyedihkan! This is totally pathetic !


III

DI HIMPIT di antara bangunan-bangunan lama, satu warung mamak penuh dikunjungi orang ramai yang mahu pekena teh sebelum pulang ke rumah. Mereka memilih satu meja yang baru dikosongkan sekumpulan budak-budak despatch. Dua cawan teh tarik yang berbuih dan suam-suam menemani bual mereka petang itu. Geseran daun pokok sena bertambah pula riuh kicau burung yang sibuk sama hendak pulang, menjadikan suasana minum teh di bawah pokok, di celah-celah bangunan usang begitu nostalgia sekali. Setiap detik terus terakam dalam minda Lili. Sudah bertahun lamanya dia tidak duduk semeja, berbual kosong dan berkongsi jenaka sambil menikmati teh yang manis lemak berkrim. Petang itu adalah petang yang memecahkan semua kesedihan yang terhimpun begitu lama. Dia ketawa, dan ketawa sampaikan terpaksa memesan satu cawan teh tarik lagi. Roti inti kelapa menjadi kuih mereka petang itu. Makanan yang simple tapi dengan ambiance yang begitu indah terasa sedap sangat, kalah makan dekat kopitiam.


“Memang kaw teh tarik ni dan memang saya dah ‘gila’ nak minum teh ni lagi.” Kata Lili ketika mereka berjalan menuju ke Pasar Seni semula.

“Tulah saya dah cakap.” Gibran jadi hairan sejak tadi melihat Lili yang tersenyum tidak henti-henti dari tadi.

“Awak nampak happy saja…” katanya perlahan.

“Ye ke ?” Lili terus berhenti senyum.

Gibran angguk.

“Saya lebih suka tengok awak senyum dari menangis. Macam malam tu…”

Lili tidak berkata apa-apa. Seperti biasa, dia hanya mengebam bibir. Tiada dialog lagi dan dua-dua terus berjalan. Matahari sudah terbenam. Sayup azam berkumandang. Dua-dua menghayati suara muazzin dalam remang senja, menghayun kaki menuju ke surau.